Advertisement

Maksud Malaysia Madani : Rukun dan Konsep Pelaksanaan

Malaysia Madani – Membangun Malaysia Madani bagi bina masa depan negara

Pada 19 Januari 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia MADANI sebagai kerangka dasar bagi memartabatkan semula negara sebagai negara makmur dan dihormati.

Bertemakan ‘Membangun Malaysia Madani’, konsep yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ini terletak pada enam tonggak utama seperti berikut :

  • KeMampanan
  • kesejAhteraan
  • Daya Cipta
  • HormAt
  • KeyakiNan
  • Ihsan

Maksud Malaysia Madani

Sekaligus enam tonggak iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan serta ihsan memegang maksud MADANI secara menyeluruh.

Enam tonggak ini bakal memeta hala tuju Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.

Berdasarkan kenyataan daripada Perdana Menteri, Malaysia Madani dikarang hasil daripada pengalaman lebih empat dekad di dalam bidang perkhidmatan awam, mengepalai beberapa kementerian dalam kerajaan, menerajui beberapa badan antarabangsa, serta menjadi pendidik di beberapa universiti berprestij dunia.

Konsep Malaysia Madani

Malaysia Madani bertunjangkan empat Teras Strategik Utama iaitu :

  1. Membina Semula Ekonomi
  2. Menjamin Kesejahteraan Insan
  3. Reformasi Institusi Demokrasi dan Perundangan
  4. Mewujudkan Pentadbiran Beramanah

Bagi memastikan kelancaran agenda ini, tiga pembolehdaya strategik akan berfungsi sebagai enjin penggerak iaitu :

  • Digitalisasi Perkhidmatan Rakyat
  • Pendayaupayaan Bakat Terbaik Negara
  • Pemerkasaan Pengurusan Projek Strategik

Madani juga menjadi dasar setiap teras bagi memperkukuh lapan keperluan dalam pembangunan negara iaitu :

  • Ekonomi
  • Kewangan
  • Perundangan
  • Pendidikan
  • Kemasyarakatan
  • Kebudayaan
  • Bandar
  • Luar Bandar

Pelaksanaan Malaysia Madani Dalam Kerajaan Perpaduan

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, konsep ini juga mengajak seluruh rakyat Malaysia termasuk kepimpinan Kerajaan Perpaduan  untuk mengangkat martabat insan berpaksikan keyakinan, nilai, akhlak serta tata kelola yang adil dan berkesan.

Tambah Perdana Menteri, Madani tidak akan menepikan prinsip kerajaan dalam mentadbir negara.

Kerajaan juga akan menstruktur semula ekonomi negara berlandaskan kepada tiga keutamaan strategik iaitu membasmi kemiskinan, penstrukturan semula ekonomi dan memulih serta menjana ekonomi berteraskan konsep Malaysia Madani.

Sehubungan dengan itu, langkah-langkah yang akan diumumkan menerusi Belanjawan 2023 di Parlimen pada 24 Februari nanti bakal mengembalikan asas dan tindakan yang bertepatan dengan konsep yang baharu ini.

“Ini semua boleh menambah keyakinan dengan menegakkan sistem atau negara hukum yang tidak akan memilih bulu dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, dan tidak juga menindas atau menekan individu atau puak yang tidak mendukung kita.

“Ini yang disebut sebagai jentera kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan dasar-dasar, berfungsi secara optimum dan kita selesaikan isu tata kelola dengan penyelarasan dan koordinasi tapi harus bermula dengan pengurusan atasan,” kata beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa seluruh kepimpinan dalam Kerajaan Perpaduan perlu meletakkan asas dan budaya baharu dan meninggalkan perkara lampau yang memberi kesan buruk kepada negara.

Sumber : Astro Awani

Advertisement


Leave a Comment