Cara Mohon dan Tebus Baucar FLYsiswa
Kemaskini! Permohonan dan Cara Tebus Bantuan Subsidi Pembelian Tiket Penerbangan Untuk Pelajar Universiti Awam. syarat Kelayakan dan semakan Kelulusan Permohonan.
Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk melaksanakan inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar Universiti Awam (UA) iaitu FLYsiswa bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Inisiatif ini dilaksanakan susulan Kementerian Pengangkutan telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan syarikat-syarikat penerbangan bagi memperincikan pelaksanaan inisiatif ini.
Pelaksanaan inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan seramai lebih 56,000 pelajar daripada universiti awam dengan implikasi kos keseluruhan yang dianggarkan berjumlah RM16.8 juta.
Pelaksanaan inisiatif bantuan bantuan tiket penerbangan pelajar UA bagi laluan
domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan ini dapat mengurangkan beban kewangan pelajar yang ingin pulang ke kampung halaman semasa cuti semester pengajian.
Pelaksanaan Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar
Inisiatif ini akan dilaksanakan melalui kaedah pemberian credit shell di mana syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada setiap pelajar yang layak.
Baucar tersebut akan ditebus untuk pembelian tiket penerbangan bagi laluan-laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Syarat Permohonan
Syarat permohonan untuk menerima bantuan tiket penerbangan ini adalah seperti berikut:
- Pelajar yang layak untuk menerima subsidi ini adalah semua pelajar warganegara Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di universiti awam pada tahun 2023 dalam kategori berikut:
– Berasal dari Sabah, Sarawak atau Wilayah Persekutuan Labuan (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Semenanjung.
– Berasal dari Semenanjung (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Sabah, Sarawak atau Wilayah Persekutuan Labuan.
– Berasal dari Sabah (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Sarawak atau Wilayah Persekutuan Labuan.
– Berasal dari Sarawak (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Sabah atau Wilayah Persekutuan Labuan; atau
– Berasal dari Wilayah Persekutuan Labuan (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Sabah atau Sarawak. - Hanya sah untuk pembelian tiket penerbangan sehala atau dua hala bagi laluan penerbangan kelas ekonomi antara tempat asal (Semenanjung/Sabah/Sarawak/Labuan) dan tempat pelajar sedang menuntut (Semenanjung Malaysia/Sabah/Sarawak/ Labuan).
- Hanya boleh digunakan untuk pembelian tiket penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly dan MYAirline.
- Tarikh akhir penebusan baucar untuk pembelian tiket penerbangan adalah pada 31 Oktober 2023. Namun, pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan.
Kaedah Penebusan Baucar
Untuk menebus baucar penerbangan tersebut, penebusan boleh dibuat mulai 15 Ogos 2023.
Penebusan baucar boleh dibuat menerusi kaedah berikut:
- Membuat semakan kelayakan melalui laman sesawang Kementerian Pengangkutan yang akan dimaklumkan nanti. Sekiranya pelajar didapati tidak layak, pelajar boleh membuat semakan dan rayuan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi melalui universiti masing-masing.
- Membuat permohonan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan di laman sesawang syarikat penerbangan yang dipilih oleh pelajar.
- Setelah menerima permohonan tersebut, syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada pelajar sebagai credit shell untuk membeli tiket penerbangan. Sekiranya harga tiket yang dibeli adalah kurang daripada RM300, baki baucer digital akan kekal dalam credit shell untuk digunakan bagi pembelian tiket seterusnya; dan
- Menggunakan baucar untuk membuat pembelian tiket penerbangan bagi laluan-laluan yang dibenarkan.
Contoh Senario Penebusan
Contoh senario penebusan boleh dirujuk melalui jadual di bawah:
Tatacara Semakan Kelayakan
Untuk semakan kelayakan, sila ikuti langkah-langkah berikut:
- Layari laman web https://subsidiudara.mot.gov.my/.
- Masukkan no MyKad dan nama universiti.
- Klik butang “Semak.”
- Status semakan sama ada:
– Tidak layak: Pelajar boleh membuat semakan dan rayuan kepada KPT melalui universiti masing-masing.
– Layak: Mohon baucar digital melalui laman web syarikat penerbangan yang dipilih.
Info Lanjut
Info lanjut mengenai FLYsiswa, sila layari laman web https://www.mot.gov.my/my
Advertisement